ensiyahmuhammad

Saturday, October 1, 2011

Sejenak

Assalamualaikum

Nc membuang pandangan ke luar tingkap dari tingkat 4 Mahallah Halimahtus Saadiah. Baru sahaja menjadi penghuni mahallah ini selama hampir empat minggu. Struktur bilik yang berbeza dengan Mahallah Maryam tidak membuatkan dia janggal untuk meyesuaikan diri dengan suasana baru. 

Dari situ, Nc dapat melihat dengan jelas blok D yang berhadapan dengan blok yang didiaminya dan juga Blok F. Sedikit pemandangan Mahallah Nusaibah dan Mahallah Sumaiyyah di atas bukit. Pokok-pokok hijau yang menjadi penyejuk mata di kala runsing dan inginkan ketenangan itulah yang sangat di sukainya. 

Walaupun hakikatnya mahallah ini sangat jauh dari kuliyyah atau fakultinya, tetapi dek kerana terlalu menyayangi tasik yang berdekatan dengan Kompleks Sukan Wanita (Female Sports Complex), dia memilih untuk terus bertahan dan tidak berpindah ke mahallah lain. 

Nc sedang berehat mengulangkaji pelajaran. Tiga minggu pertama yang dihadapinya sangat kelam-kabut. Sukar bagi dirinya untuk membahagikan masa antara pelajaran dengan aktiviti luar. Sering sahaja dia merasakan pelajaran terabai. Lantas, pengakhiran minggu ketiga ini dia memilih untuk tidak pulang dan menghabiskan masa untuk belajar agar dapat menutup lompang-lompang yang digalinya sendiri.

Renyai. Titisan yang turun tidak terkira, sederhana, tapi cukup untuk membuatkan seseorang basah kuyup kerananya. Pokok-pokok beralunan seolah-olah menari-nari kecil. Tersenyum Nc melihatnya. Alangkah indahnya jika dia pun dapat menari seperti itu. 

Alunan melodi dan rentak lagu Dari Sujud ke Sujud menusuk kalbu. Bukan cinta sahaja kurniaan Ilahi, malah cemburu dan takut jua. Nc sering sahaja terbuai bila mana lagu-lagu cinta diputarkan. Persis orang yang sudah dilamun cinta lagaknya. Siapa yang tidak inginkan cinta? Walau bagaimanapun, Nc tetap berazam ingin mencapai dulu matlamatnya. Siapa yang tidak inginkan keputusan yang baik? 

Namun satu persoalan yang ditimbulkan dalam kelas hingga membuatkan kini Nc sedang mencari-cari jawapan. Walaupun jawapan tersebut ada pada dirinya, Nc masih gagal menjumpainya. 

“Why u study up to degree level?”

Senandung al-fatihah memenuhi ruang.

“Ya Allah, tunjukkanlah aku jalan yang lurus”

No comments: