ensiyahmuhammad

Sunday, July 17, 2011

Hujan

Jam sudah menunjukkan pukul6.10 petang. Anne masih berada di suatu pejabat di tempatnya belajar. Leka dalam perbincangan menyiapkan kertas kerja untuk program semester hadapan. Anne bergegas ingin pulang. Perjalanan yang mengambil masa 10minit untuk Anne sampai ke rumah membuatkan dia memutuskan untuk menunaikan solat Asar di rumah sahaja.

Sahaya dia melangkah keluar dari pintu pejabat, dia melihat cuaca sangat gelap. Cahaya matahari ditutupi awan yang sedang sarat membawa air yang disejat dari permukaan bumi. Anne berkeras untuk tetap pulang ke rumah. Berlari-lari anak Anne ke tempat dia memarkir motornya. Tanpa baju hujan, dia tetap berdegil untuk meneruskan perjalanan.

Basah. Tidak dipedulikannya. Dia hanya ingin pulang. Itu matlamatnya. Baju yang basah disimbahi rintik-rintik hujan langsung tidak menghalangnya. Semakin jauh dia teruskan perjalanan, rintik-rintik hujan semakin lebat. Anne hanya bergantung pada pancaindera melihat yang ALLAH kurniakan.


"Ya ALLAH, lebatnya hujan nie. Aku tak nampak. Nak bukak wizer nie pula tak boleh. Makin tak nampak pula kena serang dengan air hujan. Ya ALLAH, aku hanya mampu untuk bertawakal kepadaMu YA ALLAH. Selamatkanlah aku dalam perjalanan pulang ku ini." Anne bermonolog.


Bibirnya tidak berhenti mengalunkan tasbih, takbir dan tahmid.


Hujan makin lebat. Pandangannya makin kabur. Hanya dapat melihat lampu sisi kereta di hadapannya. Anne hanya bergerak mengikut panduan kereta dihadapanya. Dia tidak dapat memandang kiri dan kanan. Hatinya gusar apabila tiba di flyover. Dia risau gagal untuk memilih jalan yang betul atau pun terbabit dalam kemalangan. Pergerakannya sangat perlahan. Tidak mengapa. Biar lambat, asal selamat. Namun, dalam perlahan dia juga ingin cepat kerana dia ingin juga menunaikan solat asar di rumah.


Anne menyerah kalah. Dia terpaksa juga berhenti di bawah flyover. Terdapat ramai juga penunggang motorsikal yang lain turut menumpang untuk berteduh di situ.Semua kesejukan, seperti dirinya juga. Namun begitu, sekurang-kurangnya mereka mempunyai baju hujan. Anne hanya tersenyum memikirkan kecuaian sendiri.


Pertama kali Anne berhadapan dengan cuaca buruk sebegini. Hujan yang turut dengan lebat, membasahi bumi yang ketandusan sumber air bersih tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berhenti. Anne mengelamun. Tiba-tiba sahaja ingatannya melayang kepada arwah ayah.


"Ayah seorang yang hebat. Baru kini aku sedar susah-payah Ayah sanggup hantar aku pergi sekolah. Walaupun dalam hujan lebat. Semata-mata untuk aku tidak terlepas ujian. Ayah sanggup datang ambil aku di sekolah dengan baju hujan. Sedangkan ketika itu, aku malu untuk memakai baju hujan warna kuning itu. Aku malu pada kawan-kawan yang ibu bapa mereka mempunyai kereta. Sedangkan aku hanya pulang dengan motorsikal lama. Aduih. Betapa tidak bersyukurnya aku ketika itu Ya ALLAH" Rintihan hati Anne.


Sayu hati Anne. Dia baru sedar betapa kekayaan harta benda itu tidak penting. Perkara yang paling utama adalah usaha. Ayah berusaha seboleh yang mungkin untuk memastikan dia mendapat pendidikan yang sempurna walaupun tergolong dalam golongan keluarga yang miskin. Ayah tidak kisah biarlah berpanas mahu pun berhujan, janji Ayah dapat melihat anak-anaknya berjaya dalam pelajaran.


Anne telah pun berjaya melangkah ke menara gading. Ayah mungkin tidak sempat untuk melihatnya menggenggam segulung ijazah. Tetapi sekurang-kurangnya Ayah dapat melihat dirinya merangkul gelaran Pelajar Terbaik untuk PMR, SPM dan STPM. Mungkin bagi orang lain, itu perkara biasa. Namun, jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan Ayah dan Mak. Itulah hadiah yang terbaik untuk mereka.


Anne menanam azam. Dia menetapkan aras kejayaan untuk dirinya sendiri. Bagi dirinya, selagi dia belum mampu untuk menyenangkan hati Maknya, dia masih lagi belum berjaya. Selagi dia belum mampu untuk membacakan surah Yassin untuk Ayah setiap hari, dia masih belum berjaya. Benarlah kata orang, ibu bapa boleh menanggung seberapa ramai pun anak mereka, kerana kasih sayang mereka tanpa batasan. Namun, sedozen anak belum mampu dapat menanggung ibu bapa mereka kelak, kerana pentingkan diri sendiri. Anne berdoa, dia tidak tergolong anak-anak kategori tersebut.


Lama Anne mengelamun. Hujan sudah makin reda. Tanpa membuang masa, dengan pantas dia menuju ke rumah. Banjir di pusingan U tetap diredah. Badan yang menggigil kesejukan tidak dipedulikan. Dia hanya ingin pulang.


Alhamdulillah. Tepat pukul6.55petang dia sampai di rumah dan selesai mandi, solat asar pada pukul 7.15malam.


Muhasabah diri:-
  • Anne sepatutnya meninggalkan kerja yang ada apabila mendengar seruan azan. Panggilan  ALLAH lebih penting dari apa pun jua urusan. 
  • Anne sepatutnya solat saja di surau atau masjid berhampiran dan tidak perlu berdegil untuk solat di rumah. Kemalangan berlaku tanpa tanda. Jika ditakdirkan, mungkin sahaja dia kecelakaan dan pergi dalam keadaan yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH sebagai seorang hamba.
  • Kita haruslah bersyukur dengan apa pun yang kita ada sekarang.
:)

No comments: